Dua iPhone baru dilancar

Cuppertino, California: Apple Inc melancarkan dua iPhone baru termasuk varian bajet yang disasarkan untuk peminat telefon pintar di negara sedang membangun.

Ketua Eksekutif, Tim Cook, berkata pasaran telefon pintar sudah berkembang terlalu besar tahun ini sehingga mendorong syarikat untuk menggantikan iPhone 5 dengan dua peranti baru.

Tempahan atas talian untuk varian mewah iPhone 5S dan model bajet 5C yang dikuasakan iOS 7 akan dibuka esok sebelum kedua-dua peranti baru berkenaan mula dijual di Amerika Syarikat, Australia, Britain, China, Perancis, Jerman, Jepun dan Singapura pada 20 September ini.

iPhone 5C adalah sebahagian usaha Apple untuk menyaingi tawaran meluas telefon pintar murah daripada pesaing, yang sebahagian besarnya menggunakan sistem operasi Android Google.

Ketua Pereka Bentuk Apple, Jony Ive, berkata walaupun 5C adalah varian berkos rendah dengan sarung polycarbonate dialas kerangka keluli, ia tetap cantik.

iPhone 5C dengan memori 16 gigabait (GB) berharga AS$99 (RM324) dengan kontrak dua tahun di Amerika Syarikat, manakala tanpa kontrak AS$549 (RM1,797.56), AS$100 lebih murah berbanding model asas iPhone sebelum ini.

Model berkualiti
5C bukan peranti berkualiti rendah, kata penganalisis di Gartner, Van Baker ketika ditemui selepas mencuba peranti itu pada pelancaran telefon pintar berkenaan di ibu pejabat Apple di sini, kelmarin.

Hanya sarungnya ditukar kepada plastik, sebab itulah Apple dapat turunkan harganya. Sama ada Apple dapat menarik pembeli baru dari negara sedang membangun dengan penurunan harga itu belum dapat dipastikan, katanya.

Model mewah iPhone 5S pula yang dijual pada harga AS$199 (RM651.58) dengan kontrak dua tahun atau AS$649 (RM2,124.99) tanpa kontrak, dilabel sebagai telefon pintar termaju pernah dihasilkan Apple hingga kini.

Naib Presiden Apple, Phil Schiller, berkata 5S adalah seperti penetap Piawai Emas bagi telefon pintar.

Ia dilengkapi cip pemproses sangat laju hinggakan menjadikan gerak kerja perkomputerannya hampir sama seperti sebuah komputer peribadi (PC).

Pengimbas cap jari


Ada lebih satu bilion transistor dalamnya, sekali gus menjadikan pengalaman melayari permainan dan aplikasi grafik sangat pantas, katanya sambil menambah bateri 5S boleh bertahan 10 jam dan 40 jam untuk memainkan muzik.

Ciri terhebat pada 5S adalah pengenalan pengimbas cap jari sebagai ciri keselamatan sebagai ganti kata kunci, serta sebagai cara pengesahan pembelian dalam iTunes.
AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan